Tuesday, March 23, 2010

TERKINI

KEPADA EN SUHAIMI..
Sila Klik Tugasan dibawah ini:...

Tugasan 5

Tugasan 4

Tugasan 3

Tugasan 2

Pengenalan

Tuesday, March 16, 2010

Paparan dan Berita

Utusan Malaysia Online - Megabait

ARKIB : 18/03/2010

Integrasi teknologi terkini Samsung


Keunikan netbook Samsung ini ialah ketahanan baterinya.


JENAMA Samsung sememangnya terkenal dengan keunggulan rangkaian kelengkapan elektronik dan komunikasinya yang berteknologi tinggi.

Merangkumi perkakasan rumah, pengkomputeran dan juga alat telekomunikasi, fungsi pada produk-produk tersebut tidak pernah menghampakan penggunanya.

Pengarah Urusan Samsung Malaysia Elektronik (Samsung) Sdn. Bhd., Yu Jai Sul, berkata, sebagai syarikat teknologi, Samsung sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk unik bagi memenuhi keperluan dan cara hidup pengguna.

''Kita akan mengetengahkan idea-idea kreatif pada produk yang dihasilkan agar pengguna dapat menikmati pengalaman hidup yang lebih bermakna.

''Tidak cukup dengan itu, kesemua produk Samsung kini juga akan ditampilkan dalam dimensi serba baru menerusi rekaan elegan dan menarik,'' katanya.

Menyokong matlamat tersebut, Samsung telah memperkenalkan rangkaian produk penyelesaian teknologi terbaru untuk tahun ini.

Ia merangkumi komputer riba netbook, monitor komputer dan pencetak laser pelbagai fungsi.

Netbook

Untuk komputer riba netbook N220, ia didatangkan dengan keunikan jangka hayat bateri sehingga 12 jam dan kepantasan prestasi.

Model berkenaan dipacu oleh pemproses Intel Atom N450 (1.66GHz, 667MHz) dengan RAM DDR2 satu gigabit (GB) serta dilengkapi sistem operasi Windows 7.

Untuk kepuasan paparan, N220 tersedia bersama skrin WSVGA 10.1 inci dengan implementasi teknologi cahaya LED belakang serta disokong oleh keupayaan grafik Intel GMA3150.

Lebih menarik, model itu turut disempurnakan bersama kemasan berkilat serta ringan sesuai untuk fungsi pengkomputeran mobiliti di mana-mana.

Spesifikasi lain yang ditampilkan adalah seperti cakera keras 250GB, sambungan USB dan Bluetooth, slot bacaan kad memori tiga dalam satu, capaian wayarles dan pembesar suara 2.1 inci.

Monitor komputer

Seterusnya, Samsung turut berbangga memperkenalkan monitor komputer dengan teknologi lampu belakang LED berdefinisi tinggi (HD) model XL2370.

Dengan keluasan paparan 23 inci, binaan luar monitor itu dibangunkan rekaan nipis serta menjimatkan ruang.

Sebagai menyokong inisiatif penjagaan alam sekitar, kesemua material yang digunakan pada model ini dibina daripada bahan yang boleh di kitar semula.

Untuk tujuan sama, operasinya turut menawarkan penjimatan tenaga sehingga 33 peratus.

Spesifikasi istimewa lainnya adalah seperti input video DVI dan HDMI, teknologi kesan warna mengikut saiz imej dan resolusi paparan 1920x1080.

Pencetak

Produk terakhir yang diketengahkan adalah pencetak laser SCX-4623F pelbagai fungsi seperti mencetak, menyalin, mengimbas dan juga faks.

Model berkenaan mempunyai kelebihan memori 64 megabit (MB) menerusi peningkatan fungsi versatil pencetakan web secara terus dengan satu sentuhan mudah.

Di samping itu, ia turut menyokong aktiviti mencetak sehingga 22 muka surat sesaat (ppm).

Keunikan model itu juga ditampilkan menerusi operasi faksnya yang boleh di hantar kepada komputer secara terus dan sebaliknya.

Penampilan ciri lainnya adalah seperti sambungan USB serta capaian sokongan navigasi kompas.


Papan kekunci maya


ANDA hanya perlu memakai alat Skinput di lengan untuk membolehkan kulit tangan anda menjadi papan kekunci atau skrin sesentuh.


SETELAH teknologi papan kekunci semakin berkembang apabila kini kita boleh mendapatkan papan kekunci yang boleh dilipat empat untuk diletak di dalam poket dan menggunakan papan kekunci maya di skrin sesentuh, kini anda boleh menggunakan tangan anda sebagai papan kekunci.

Fungsi papan kekunci sememangnya sangat penting dalam dunia komputer masa kini kerana ia perlu dihubungkan kepada alat-alat kecil seperti telefon bimbit dan alat bantuan digital peribadi (PDA).

Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dan teknologi berkaitan papan kekunci mula dikaji dan diperkenalkan kepada mayarakat untuk memudahkan penggunaannya bersama gajet-gajet kecil tadi.

Satu teknologi yang baru diperkenalkan baru-baru ini berjaya menarik ramai apabila anda boleh menukarkan kulit di badan atau tangan anda menjadi skrin sesentuh atau papan kekunci maya. Menarik bukan? Teknologi yang dikenali sebagai Skinput itu dibangunkan oleh Chris Harrison, pelajar doktor falsafah dari Institut Interaksi Manusia-Komputer di Carnegie Mellon University, Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat. Harrison berkata, walaupun saiz barangan elektronik semakin kecil sehingga boleh dipakai seperti pakaian tetapi kita masih bergantung kepada skrin dan papan kekunci yang besar untuk menggunakan alat itu.

"Ini menjejaskan tujuan asal gajet kecil itu dibangunkan," katanya. Bagaimanapun, Harrison dan kumpulannya telah berjaua memperkenalkan perisian pengesanan impak dan akustik yang mampu menukarkan kulit atau tangan menjadi papan kekunci dan juga papan sesentuh jika anda memakai projektor pico dilengan anda. Beliau berkata, sebelum ini, kajian menggunakan meja dan dinding sebagai skrin sesentuh tetapi disebabkan gajet terkini sangat kecil dan sentiasa dibawa ke mana-mana, kadang kala agak sukar untuk mendapatkan permukaan yang rata. "Jadi menggunakan kulit sendiri merupakan penyelesaian yang paling praktikal kerana ia sentiasa bersama kita," katanya sambil menambah kita boleh menggunakan permukaan berkeluasan dua meter persegi yang mudah dicapai seperti di lengan, peha dan badan. Beliau menggunakan gabungan bunyi yang berlainan yang terhasil daripada sentuhan di berlainan tempat seperti di jari, lengan atau tangan dan kemudian menggabungkan bunyi itu menjadi fungsi komputer. Kelebihan sistem ini juga ialah anda boleh mengoperasikan komputer, telefon bimbit atau pemain MP3 dengan mudah walaupun ketika bergerak seperti berlari kerana anda hanya perlu menyentuh bahagian-bahagian tertentu seperti hidung, telinga dan sebagainya. Kumpulan penyelidik itu juga telah membangunkan sistem pengesanan bio-akustik yang boleh dipakai tanpa perlu mengalirkan apa-apa aliran elektrik ke kulit. Harrison menjelaskan, apabila jari anda menyentuh badan, tulang, tisu lembut, bahagian penyambung dan sebagainya, ia memberikan kesan bunyi yang berlainan. Perisian yang dibangunkan boleh mengenali corak bunyi akustik bahagian-bahagian itu dan kemudian menterjemahkannya sebagai arahan-arahan dalam komputer. Beliau berkata, kumpulan kajiannya telah berjaya mencapai ketepatan membaca arahan itu sehingga 95.5 peratus dan mempunyai 'butang' yang mencukupi untuk mengawal pelbagai peranti, termasuk boleh bermain Tetris dengan hanya menggunakan hujung-hujung jari sebagai alat kawalan. Alat ini juga boleh disambungkan ke gajet-gajet menggunakan teknologi wayarles Bluetooth. Bagaimanapun, teknologi ini masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan belum boleh dipasarkan. Masa depan telah tiba

Bagi mereka yang tidak sabar untuk menggunakan papan kekunci maya, sebenarnya telah terdapat sebuah produk yang dikenali Papan Kekunci Maya I-Tech yang telah dijual di pasaran. Produk masa depan ini sememangnya menunjukkan kecanggihan masa depan kerana anda kini tidak lagi perlu membawa papan kekunci yang besar kerana ia boleh dipancarkan ke mana-mana permukaan yang rata. Sesiapa sahaja yang berada di sekitar anda sudah tentu akan terpegun apabila melihat anda hanya perlu menaip di meja atau mana-mana permukaan rata yang disambungkan kepada telefon bimbit atau PDA. Dengan mempunyai 63 kunci dan reka bentuk QWERTY seperti papan kekunci biasa, anda kini boleh menaip surat atau e-mel dengan mudah tanpa perlu lagi sering tersalah tekan apabila menggunakan keypad kecil di telefon atau skrin sesentuh iPhone anda. Produk ini disambungkan ke alatan anda menggunakan teknologi Bluetooh dan ia akan memaparkan cahaya laser dengan saiz papan kekunci sebenar di mana-mana permukaan yang anda halakan. Alat pemancarnya yang hanya bersaiz 3.5 inci tinggi, menggunakan bateri boleh dicaj semula yang mampu bertahan selama dua jam jika anda menaip sepenuh masa. Ia juga boleh digunakan dengan pelbagai sistem operasi seperti PalmOS 5, PocketPC 2003, Windows Smartphone, Symbian OS dan Windows 2000/XP dan juga Mac OSX Support yang terhad.

Produk yang dijual dengan harga kira-kira RM700 ini boleh ditempah melalui laman web http://www.virtual-laser-keyboard.com/.


Perluasan teknologi IPTV di hospital


MAXIMUS (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian (MoU) aplikasi Hospital IPTV di antara Digistar Rauland MSC dengan Pusat Perubatan Tropicana (TMC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.


INDUSTRI kandungan digital kreatif negara terus diperluaskan menerusi pengenalan sistem televisyen protokol Internet di hospital (Hospital IPTV).

Dibangunkan oleh syarikat Digistar Rauland MSC Sdn. Bhd. (Digistar Rauland MSC), ia merupakan penyelesaian teknologi Hospital IPTV yang pertama di Malaysia.

Perkhidmatan interaktif tersebut secara asasnya bakal disediakan di wad-wad hospital dengan tujuan menawarkan pelbagai kemudahan kepada para pesakit.

Antara aplikasinya adalah seperti capaian saluran hiburan untuk radio dan video mengikut permintaan, saluran kesihatan, laporan berita terkini, keadaan cuaca, memesan makanan, respons pesakit, rekod pesakit, ucapan elektronik, perbankan elektronik serta bil hospital.Menurut Pengarah Urusan Digistar Corporation Berhad, Datuk Lee Wah Chong, pihaknya mengambil masa selama dua tahun untuk menjalankan kajian dan penyelidikan teknologi tersebut. ''Hospital IPTV menawarkan lebih daripada 20 saluran dengan tumpuan penyediaan kandungan program berkaitan kesihatan untuk memberi kesedaran dan informasi kepada para pesakit mengenai jenis penyakit, teknik pencegahan dan cara mengamalkan gaya hidup sihat. ''Sistem ini telah mendapat kelulusan dari pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Jadi, kami yakin untuk memperluaskan teknologi ini kepada lebih banyak hospital pada masa hadapan. ''Menerusinya juga, ia secara tidak langsung akan dapat membantu kerajaan mempromosikan industri pelancongan kesihatan ke pringkat global,'' jelasnya. Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian (MoU) aplikasi sistem tersebut di antara Digistar Rauland MSC dengan Pusat Perubatan Tropicana (TMC) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili. Setakat ini, sebanyak 10 buah hospital di seluruh negara telah menggunakan sistem berkenaan termasuk Institut Jantung Nagara (IJN), Hospital Pakar Johor, Hospital Pakar Seremban, Pusat Perubatan Darul Ehsan dan Hospital Assunta. Wah Chong memberitahu, perkembangan infrastruktur jalur lebar dan WiMax yang semakin pesat hari ini bakal memudahkan lagi perkembangan operasi sistem tersebut. ''Saya percaya, kehadiran sistem ini mampu memberi lebih keselesaan dan keseronokan kepada para pesakit yang menjalani rawatan di hospital,'' jelasnya. Sementara itu, menurut Maximus, pengenalan teknologi oleh syarikat Digistar Rauland MSC itu merupakan contoh terbaik dalam memperluaskan bidang inovasi dan kreativiti negara. ''Usaha ini selaras dengan matlamat Dasar ICT Negara yang mahukan teknologi moden diaplikasikan dalam semua industri. ''Ia dilihat sebagai penyumbang penting ke arah mempermudahkan pelbagai urusan sekali gus memangkin pembangunan yang lebih baik,'' katanya. Beliau juga memberitahu, perluasan teknologi menggunakan platform protokol Internet (IP) mampu menggalakkan usahawan teknologi tempatan menghasilkan perkhidmatan yang lebih interaktif. Menarik mengenai sistem televisyen yang menggunakan medium jalur lebar itu, ia tidak akan mengalami gangguan siaran sekiranya berlaku cuaca buruk. Dari segi kandungan pula, ia akan diambil daripada sumber luar negara sebelum dialih bahasa kepada bahasa tempatan untuk memudahkan kefahaman. Pihak Digistar Rauland MSC bakal membekalkan perkhidmatan Hospital IPTV kepada hospital yang berminat untuk tempoh kontrak selama sepuluh tahun. Ia merangkumi bekalan peralatan, pemasangan, operasi dan juga penyelenggaraan sistem. Dari segi peratusan penonton pula, Hospital IPTV menyumbang sebanyak 60 hingga 80 peratus penonton berbanding hanya lima peratus untuk perkhidmatan IPTV yang digunakan di hotel-hotel. Digistar Rauland MSC juga dijangka memperluaskan perkhidmatan tersebut kepada hospital-hospital kerajaan dan juga swasta dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang. Ketika ini, syarikat itu sedang dalam peringkat kajian membangunkan teknologi komunikasi yang bakal membenarkan pesakit di wad hospital berhubung dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia.

Cyberkid serlah minat pelajar Asia terhadap ICT


PELAJAR tertarik dengan demonstrasi mengenai program yang diadakan.


Pelajar dari 10 negara - Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam teruja dengan setiap pekara baru yang dipelajari pada program Asean Ciberkids Camp (ACC) yang diadakan di Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tujuan utama program tersebut untuk meningkatkan kemahiran komputer para pelajar berasal dari kawasan pendalaman yang kurang mendapat pendedahan dalam bidang teknologi maklumat (ICT).

Bagi sebahagian peserta kem, pengetahuan mereka hanya tertumpu kepada teknologi komputer seperti perisian Microsoft Office dan asas melayari internet.

Pada masa yang singkat, peserta telah mempelajari perisian baru seperti Internet Tools, Presentation Skills yang menggunakan program Multimedia Photostory, YouTube, dan program teknologi untuk mencipta blog.

Pada hari ke tiga program, mereka bukan sahaja mampu mengembangkan asas daya kreativiti di dalam persembahan masing-masing malah para pelajar tersebut turut berpeluang menguji kebolehan berpidato mereka.

Seterusnya para pelajar akan melakukan persembahan dengan program Photoscape di dalam beberapa kumpulan.

Melalui program tersebut, peserta boleh menghasilkan pelbagai cerita berasaskan gambar dengan menggunakan teknologi foto yang beresolusi tinggi dan campuran bunyi yang lebih dinamik.

Sumber campuran bunyi tersebut terdiri daripada muzik, suara kanak-kanak dan nada dering daripada internet serta bunyi kehidupan yang lain seperti burung, kereta dan bunyi bising kesesakan trafik.

Setelah selesai menghasilkan cerita, mereka perlu menerangkan motif memilih gambar dan bunyi yang tertentu tersebut kepada fasilitator dalam bentuk persembahan mini.

Persembahan mini tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan berkeyakinan mereka dalam kemahiran berkomunikasi selaras dengan hasrat ahli akademik yang mahu penguasaan di dalam bidang tersebut dipertingkatkan.

Ketika ditanya apakah perkara yang paling mereka sukai tentang semasa berada pada kem tersebut, pelbagai reaksi telah diterima.

Seorang pelajar dari Vietnam, Cao Hai, 11, berkata, melalui teknologi foto tersebut dia dapat meluahkan apa sahaja perasaan yang disukainya.

"Jika di sekolah, saya tidak berpeluang mempelajari teknologi tersebut dan saya juga berharap suatu hari nanti saya dapat mempelajari bagaimana komputer boleh membantu dalam perniagaan," katanya.

Seramai 115 pelajar sekolah berumur antara 10 hingga 14 tahun menyertai kem selama lima hari tersebut dan setiap negara diwakili oleh empat orang pelajar dan seorang guru di dalam satu kumpulan.

Manakala sehari sebelum program tersebut tamat, para pelajar telah dibawa bersiar-siar di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Pada hari terakhir, peserta berpeluang menemui pelukis kartun terkenal LAT dalam sesi ceramah bagaimana beliau boleh berjaya di dalam kerjaya profesional biarpun hanya berasal daripada seorang budak kampung.

Kem Asean Cyberkid (ACC) merupakan program kerjasama antara Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Maxis Berhad (Maxis) dan turut disokong oleh Kementerian Pendidikan.